Wednesday, December 29, 2010

Kalau tidak kerana iman dan ukhwah ini...

Lama rupanya tak update blog. Terasa macam blog sendiri, tiada yg lain yang punya masa untuk update, mungkin masih menyusun masa masing-masing dengan tugasan-tugasan yang lebih prioriti. Takut juga. Moga masa-masa yg kugunakan untuk menulis satu persatu rasa hati dan isu yang berlegar di sekitar dunia UK Eire ini adalah dalam rahmat dan berkatNya... insyaAllah.

Bismillah...

Kerana dakwahlah, aku memaafkan mereka. Yang baru sahaja ingin mengenal jalan dakwah ini dan sudah diberi Allah untuk berhadapan dengan bermacam benda. Sudah berapa ramai yang menangis kerana mereka, tidakkan mereka tahu sehinggalah sampai suatu masa di mana mereka akan diuji dengan punyai mad'u-mad'u yang sama sahaja situasinya dengan keadaan mereka sekarang. Dan sekarang mereka masih dengan dunia kefahaman mereka, kami melihat daripada jauh lagak dan perbuatan mereka. Masih berdarah muda, masih segar, masih muda. Kami juga begitu dahulu. Melihat mereka, kami cuba mengimbas apa yang berlaku di saat kami dahulu. Mungkin situasi -situasi yang terjadi berbeza, tetapi kuakui sifat daie-daie muda semuanya agak sama. Nadanya tinggi, alunannya deras dan tidak sabar dengan rima suasana.

Kenapa menunggu sehingga datangnya sesuatu yang lebih besar, barulah mereka ingin mencari jalan untuk mengatasi sesuatu? Dzatiyyah masih lemah, dan mereka terpesona dengan tipu nikmat dunia... Begitulah setiap manusia. Menanti petunjuk berupa ayat Quran dalam telur yang dipecahkan, ataupun suara daripada kubur yang menakutkan, ataupun histeria jin merasuk kawan... barulah mereka mula memikirkan apakah nasib mereka di hari perhitungan nanti. Sebegitu jugalah mereka ini. Masih menanti-nanti apakah tanda-tanda besar yang akan ke mari, barulah mujahadah lebih tinggi melawan nafsu dan kehendak diri sendiri.

Hidup perlukan pengorbanan. Dan pengorbanan yang sebenar tidak berperisa manis. Pahit dan payah. Susah untuk dibuat. Boleh sampai menangis kerana peritnya pengorbanan demi mengejar hakikat cinta Ilahi. Dan mereka mengatakan mereka telahpun berkorban setakat ini. Ketahuilah bahawa tidak semudah itu seorang daie berpuas hati dengan amalan mereka sehari-hari, sehinggalah muncul pewaris-pewaris baru tanggung jawab ini di bawah tarbiyyah mereka yang siap sedia untuk memikul dakwah bersama-sama sekelompok golongan kita-kita ini demi membangun Islam sepanjang generasi.

Hidup perlukan pengertian, bukan sekadar menjenguk di atas permukaan lautan atau dilihat hanya daripada satu sudut pandangan. Perlu dikorek pengalaman demi pengalaman orang. Dan mereka menyatakan mereka telahpun faham tentang apa itu kekuatan dalam Islam. Ketahuilah, bahawa tidak secetek itu seorang daie berfikir dan cuba memahami apa ertinya berjalan di atas jalan dakwah ini, sehinggalah terbitnya ufuk-ufuk kefahaman yang mendalam daripada diri setiap daripada kamu tanpa menghiraukan kepentingan diri dan hanya memikirkan keadaaan umat yang nazak dan menanti tangan seorang dait penegak Islam agar ia bangkit kembali.

Hidup perlukan matlamat yang satu, bukan hanya sekadar nampak orang-orang yang berdiri di hadapan mahupun yang bersama-sama dengan mereka keliling pinggang. Perlu dijadikan sahabat-sahabat Nabi, qudwah Rasul sendiri sebagai tauladan, bukannya menginginkan perfect advicer sakan. Dan mereka mengatakan yang perlu untuk adanya pendekatan-pendekatan tertentu walaupun benar kita sefahaman dan tidak lain hanya satu arah tujuan, iaitu redha Allah. Ketahuilah bahawa manusia sempurna wujudnya hanya di alam mimpi, takkan wujud di realiti. Qudwah itu wujud mula dalam diri mereka sendiri yang nampak apa intipati ibrah Allah ingin bagi pada tiap-tiap benda yang terjadi dulu dan kini.

Seandainya masih lama masa yang diperlukan mereka untuk menelan hakikat ini, maka aku akan cuba memahami, dan menunggu apa yang akan terjadi di suatu masa depan nanti. Bersama-sama yang lain kami mengadu tangis di malam hari, mengerah fikiran apa lagi yang dapat dilakukan untuk menyedarkan mereka yang hanya melihat dunia dakwah ini begini... aku terfikir petunjuk apa yang mereka inginkan daripada Allah untuk ke sekian kali.

'Yang menipu diri dan membutakan mata mereka sekarang adalah adalah perasaan dan nafs mereka sendiri...'

Don't underestimate His tarbiyyah,
Don't wait, pls...
Saadiah

No comments:

Post a Comment