Saturday, January 8, 2011

Pembinaan

Bismillah.

Bila kita senantiasa meminta ditunjuk ajar orang: menanya banyak soalan yang kita sendiri tak dulu cuba untuk selesaikan, atau kita membiarkan orang lain buat keputusan, atau takut bersuara ketika ada perjumpaan yang memerlukan pendapat dan cadangan, atau sekadar lari daripada teguran menampar yang datang...

Ia seolah-olah kita merasakan tanggungjwab membina dzatiyah diri kita itu adalah pada mereka, bukan pada kita juga sebenarnya. Mungkin tidak nampak kesan pada awalnya, tetapi ianya lebih nyata bilamana ada masanya kita perlu menghadapi satu-satu masa dalam perjalanan dakwah itu seorang-seorang. Tidak dapat berteman.

Takut untuk membayangkan, setiap hari setiap masa, kita minta pencerahan...

"Akak, saya nak kata-kata taujih hari ini"
"Awak, bagilah apa-apa nasihat pada saya ni"
"Tegurlah saya ukhti"
"Cepat tampar saya dengan kata-kata anti"

...

Persis seperti kita mengabaikan tanggung jawab diri kita untuk mentarbiyyah diri sendiri. Tidak mahu tarbiyyah datang lebih senang, menambah masa perjalanan dakwah lagi. Hakikatnya hanya mengharapkan tolakan daripada luar datang menyengat, dimetaforakan dengan ayat-ayat yang terkeluar daripada bibir kita...

"Zasss"
"Pedas!"
"Sssss"

...

Nyata ini bukanlah program Quran yang diwarisi generasi para Nabi.


Dakwah tidak mengharapkan kader-kader yang lahir adalah mereka yang mengambil senang jalan ini. Tika ramainya orang yang ada untuk melihat kita daripada jauh, kita tidak mahu berusaha sendiri untuk mengenal jalan dakwah, tidak memperkaya pengalaman diri untuk mentarbiyyah. Hanya mencari-cari rahsia kehidupan daie-daie yang dikenali, tidak kira melalui buku hasil pena, yang dekat di hati atau di mata.

Proses pembinaan diharap akan menambah logam-logam yang telah sedia ada, rupanya menambah kerja.

Tidak dinafikan mereka yang di belakang, perlu dipimpin oleh yang berada di hadapan. Tidak boleh terputus, apa lagi kalau nampak ada ura-ura muncul kepala-kepala sendiri suka hati, porak perandakan amal jamaie. Pada masa itu hendak dinasihati bukan mudah lagi. Merasa diri semua betul sendiri. Semangat pula berapi-api.

Mutiara-mutiara mereka yang bersusah payah membawa dakwah kepada kita perlu kita timba, dan cabaran-cabaran yang ada sepatutnya mematangkan diri kita pula. Tidaklah sampai lagaknya seperti kita mempas-paskan baton begitu saja. Itulah sebabnya perlu ada yang mengawasi apa-apa saja amal dakwi yang akan dibuat kemudian hari. Bukan memberi dan terus memberi. Memberi dan memerhati. Bukan juga amal dakwah perlu berahsia sirr segala. Bukan begitu fiqh dakwah mengajar kita. (Tapi itu lain cerita. Sambung semula...)

Di manakah yang dikatakan setiap roh itu dipertanggungjawabkan pada nafsnya di akhirat kelak?

Maka tidak hairanlah kalau semangat kita masih tidak mampu untuk melipatgandakan produk dakwah dan tarbiyyah. Bukan peliklah kalau memang sebabnya adalah kerana diri kader-kader itu sendiri. Mereka lebih banyak menghabiskan masa untuk mencari tolakan-tolakan luar, tidak cuba menyimpan bekal yang sudah ada kemas-kemas untuk kegunaan diri suatu hari. Terus, fokus terlari. Sepatutnya mentakwin anak-anak binaan tapi akhirnya hanya memakan suapan demi suapan. Kailnya? Hilang di tengah lautan kemudaratan tika meminta 'kekuatan'...

Medan pertempuran peribadi, cepat saja kalah. Tidak mampu mengawal diri, perlu ada orang yang mengawasi makan tidur pakai dan banyak lagi benda yang melibatkan perjuangan roh-roh kader itu tidak dapat mereka atasi. Tak perlu kusenaraikan di sini... sudah cukup untuk tiap-tiap hati ini jawab sendiri.

Lantas selama ini apa yang kita fahami tentang dakwah dan tarbiyyah ini?

Wahai pemuda pemudi pemikul dakwah generasi kini, tarbiyyahlah juga diri sendiri.

Saadiah
My last post before 11th Jan 2011.

Friday, January 7, 2011

Dzikirnya, dzikirku...

Bismillah..

Kadang kala aku kehilangan kata-kata, sekadar terpegun melihat keindahan 'masa diam' seorang hamba, meratib dzikir dalam masih ada air wudu' di mukanya. 'Subhanallah, walhamdulillah, la ila ha ila Allah, Allahu akbar... Subhanallah, walhamdulillah, la ila ha ila Allah, Allahu akbar'... tanpa suara. Tak tahu jiwanya menuju Tuhannya. Betapa khusyuknya.

Tunduk kepalanya seakan-akan tunduk juga hatinya. Kehambaannya hidup, sedang dalam sedar dia berdepan dengan Tuhannya. Basah di kedua alur pipinya umpama menjirus hitamnya dosa-dosa yang menyelaputi hatinya. Hatinya itu seputih mutiara. Hanya kelam, kusam tidak bermaya. Mohon ya Allah, disucikan niat dan amalnya.

Betapa bila dia mengangkat kedua tangannya dan matanya menangkap jalur jemarinya, dia malu dengan dzikirnya sendiri. Manakah tangannya yang sedia menghayun pedang iman melawan zalimnya dunia? Sebak. Manik-manik air matanya jatuh menimpa pehanya. Ya Allah... Manakah jiwanya yang kuat melawan hawa nafsu? Abdullah ini masih merenung tangannya, kaku. Bibirnya bergetar menahan sayu. Dia tiada jawapan untuk itu... Nafasnya tak berlagu, dan esakan perlahannya menderu, dia gelisah pada dirinya sendiri. Sampai bila akan aku bertanya tanpa jawapan kutemu?

Ya Allah... taubat ini, Kau terimalah buat kesekian kali...
Ya Allah...

Melayari jiwa seorang abid Allah ini, kujadi sayu. Lantas siapakah aku...?


...
Dalam jauh memandang ke awan, kubiarkan 'dia' dalam ratiban dzikirnya...


Daie itu ada nada rahibnya,
Saadiah


Thursday, January 6, 2011

Inspirasi

Bismillah.

Aku cemburu. Melihat ada seseorang ini bait-bait katanya dalam panjang pendek tulisannya itu meruntun hati menjadi cair, membuahkan rindu yang pilu, membungakan kasih hingga rasa pedih. Terbawa-bawa aku kepada suatu masa dulu, waktu di mana Islam nan indah itu hanya menjadikan mata-mata sebagai saksi. Dan mereka, kemana-manapun tidak dapat melarikan diri. Melainkan mengakui, Islam agama yang mampu menawan hati.

Aku ceritakan lagi.

Tiap patah ungkapannya itu sarat dengan perasaannya yang halus, satu persatu mulus mengungkai madah jiwanya yang tersendiri. Yang mensyukuri burung bayu rahmat Maha Esa yang telah sampai dan perlahan-lahan mendarat di ulu hatinya.

Lalu dia mengungkapkannya menerusi tangannya, beralun cantik menaip, membentuk huruf-huruf yang dieja ke dalam kotak skrin yang ada di depannya. Tiap kalimat yang ditinta, seolah-olah matanya terpejam dan membawa jiwa-jiwa yang membaca suara hatinya itu terbang melayari tiap-tiap ceruk penjuru nafsnya, menuju ke suatu alam mata hati yang tulus mengelus masa sampai melupa, dalam dia berpuisi kepada TuhanNya.


Inilah dia tulisan jiwa. Basah dan mewarnai, membayangkan keikhlasan yang tak pernah dinodai.

Cemburunya aku pada dia dan penghayatannya...

Daie sedang mengasah bakat dlm diri,
Saadiah (AI)

Wednesday, January 5, 2011

Bukan tidak perlu

Bismillah.

Hari demi hari aku melihat daie-daie mundar-mandir, bertanya di sana sini, apa skill yang perlu dipunyai, apa rahsia menambat hati, apa DF terlaris dan terkini, bagaimana mahu membina peribadi dalam masa yang singkat ini, etc etc etc...

Bukan tidak perlu ayat yang berbunga, kata-kata manis bercorak pelangi riang ria, ataupun skill pandai bermadah pujangga. Lalu barulah orang akan menerima dan tertarik ke arah kita untuk mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Al-Quran sendiri sudah cukup sbnrnya.

Bukan tidak perlu skill DF yang tinggi, masuk dengan sesiapa saja tak kira yang tua atau masih muda lagi, senyum full-time tak kering gusi, ataupun sentuhan fisik demi menarik hati. Maka barulah manusia akan mendekati dan melekat kepada kita untuk meluang masa bersama-sama. Islam sendiri sudah punyai ciri-cirinya yang tersendiri untuk diteliti.

Bukan tidak perlu usaha untuk menambah baikkan peribadi dan akhlak diri, bersabar kerana tidak sabar, malu kerana dulunya tidak tahu malu, ataupun banyak fikir sampai sakit pening bagai. Maka barulah akan terbina karakter daie idaman. Daie-daie sendiri masing-masing punyai keunikan yang akan saling menguatkan.

Bukan tidak perlu semua itu. Tetapi apa yang penting demi kebaikan kita yang membuat dan untuk mereka yang mendapat... adalah keikhlasan hati.

Syed Qutb, HAB, Muhammad Ahmad Ar-Rashid, Maududiyy dan siapa lagi yang mampu kusebut di sini... juga berlainan perwatakan dan tempat berlainan peradaban... lagikan mampu melahirkan penyamaan?

Walau satu wadah, satu waqi', satu rumah, satu daurah, satu katibah, satu usrah sekalipun... tidak sama pemahaman setiap satu ahlinya.. kerana puncanya adalah keikhlasan dlm tiap-tiap hatinya. Proses pentakwinan daie-daie ini sudah tidak valid untuk faktor keluarga, latar belakang, peribadi atau apa saja yang berkaitan, dijadikan alasan dasar ketidaksamaan pemahaman pemikiran dan amal perbuatan. Apalah yang dapat mengalahkan kekuatan akar umbi fikrah ini, yakni al-Quran pedoman tiap insan tiap zaman tiap sempadan?

Jadi, adakah selama ini apakah yang dimaksudkan dengan tidak satu wavelengh itu (sekarang topik sensasi kan), tanda masing-masing tidak sepenuhnya mengikhlaskan hati? Aku pasti ramai yang tidakkan mengakui.

Ikhlaskan diri wahai para hati, kerana apa kita berbuat ini? Lillah! Kerana akhirnya terpulang padaNya jugalah untuk memberi atau menyekat taufiqNya kepada para hamba...

Jangan tergelincir daripada punca core masalah dakwah dan tarbiyyah kita hari ini.

Ingat balik analogi bola besi (kali ini versi daie),
Saaidah
p/s: terpanjang. pasti dimarahi nnt oleh Umm S. alamak!

Tak cukup... (by daie kecil)

Bismillah.

Selalu kita rasa kita dah cukup merasakan kita daie yang dah cukup tinggi tadhiyah nya. Rasa dah cukup berkorban segala rasa. Dah cukup berkorban untuk mad’u dan pada terutamanya kepada Allah, Islam dan dakwah ini.

Sungguh rendah perasaan itu. Mudah-mudah sahaja merasakan diri ikhlas. Sememangnya dakwah ini menuntut tadhiyah yang tinggi. Kata-kata, pelakuan, pemikiran sang du’at kepada sekeliling dan kepada du’at yang lain turut menuntut tadhiyah. Du’at mesti tegas dengan langkahnya, bukan ragu-ragu. Sentiasa mengorbankan dirinya terutamanya dari apa-apa perasaan yang membuatkan dia merasakan senang sendiri. Hanya cinta Allah dan rasul sahaja yang tenggelam dalam cita-cita dakwahnya. Pada masa yang sama dia tahu tarbiyah dirinya tidak sedikit pun dikorbankan.

Sedih melihat diri sebagai du’at yang tidak sanggup mengorbankan dirinya. Apatah lagi sebagai du’at yang sanggup melihat du’at lain berkorban untuk dirinya. Korbankanlah perasaan cinta pada dirimu wahai du’at! Sakit, rasa payah itu biarlah tertanggung dihatimu. Agar ia bersih. Supaya yang tinggal hanyalah cinta pada Allah dan Rasul.

Sekecil-kecil pengorbanan itu adalah pengorbanan perasaan itu. Lihatlah sekelilingmu yang lebih dahagakan nikmat iman dan islam. Demi Allah dan islam. Larutkan dirimu dalam dakwah ini. Lemparkan ragu-ragumu. Memandu dengan sunnah agung Rasulmu. Tegaskan hatimu demi Allah, lembutkan hatimu juga keranaNya. Dan redha.

Berkorban itu terkorban?

Biiznillah.

Daie kecil

Tuesday, January 4, 2011

Menangis?

Bismillah.

Kadang kala wahai teman, di suatu ketika Allah menjelmakan pada kita suatu masa. Masa yang aku sendiri susah untuk ungkapkan. Iaitu masa ujian dirasakan susah untuk ditelan. Tiada manis, pahit dan payau segenap acuan, pedih terasa di ulu hati memendam. Boleh sampai nafas tersekat bagai tertahan-tahan. Dan adakalanya juga akhirnya kalah dengan perasaan, menangis sedu-sedan dalam diam kita menjauh daripada teman. Cuba sembunyikan.

Itulah pentazkiyahan yang Allah ingin hadiahkan pada kita hamba-hambaNya yang lemah.

Adakalanya kita faham dan kita tidak dapat lari daripada apa yang sepatutnya dilakukan, dan kita cuba untuk melaksanakan... akhirnya Allah menguatkan dengan berakhirnya tangisan dan tekad untuk meneruskan perjuangan melawan hawa nafsu dan syaitan.

Susahnya untuk membersihkan diri dan hati, kerana kita terlalu lama bergelumang dalam dosa dan noda sebelum ini. Berilah peluang pada diri sendiri untuk menginsafi...

Apa yang lebih baik daripada penyucian jiwa kita ke arah mengejar redha Allah swt? Jauh langit dengan bumi kiranya kita masih cuba lari-lari tidak mahu menerima hakikat perubahan peribadi.

Jangan lari daripada penyucian jiwa dan nafs, wahai daie-daie. InsyaAllah, Allah sentiasa ada bersama di sisi...

Daie juga lembut dan rendah hati,
Saadiah

Monday, January 3, 2011

Demand tinggi

Bismillah.

Mungkin penulisanku kali ini hanya difahami oleh orang-orang yang pernah berhempas pulas ingin membawa mereka-mereka yang masih muda usia dakwah dan tarbiyyahnya menuju ke langkah yang lebih jauh lagi dalam dunia dakwah ini... Bagaimanapun, moga Allah kurniakan taufiq untuk tiap hamba-hambaNya yang mencari apa erti jalan ini dan apa makna di sebalik semua yang terjadi sehari-hari dalam kehidupan seorang daie...

Demand kita tinggi. Kita mahukan orang yang boleh memberi qudwah pada kita dalam setiap 10MT sentiasa ada di depan mata. Semangat dakwahnya, cemerlang akademiknya, molek akhlaknya, asyik gaya dan kata-katanya. Kalau tidak ada di tempat sendiri, akan kita cari di setiap ceruk yang boleh pergi. Semata-mata ingin melihat dan memahami.

Kita nakkan adik-adik yang mampu membina generasi seterusnya setelah mereka pula menjadi pelapis buat masa kini. Istiqamah dalam mutabaah amalnya, inisiatif dalam masa-masa lapang mereka, berpandangan jauh dalam membuat keputusan. Kalau tidak dapat, pasti kita tegarkan lagi usaha kita dan habis-habisan berfikir apa lagi cara yang boleh dibuat untuk mereka.

Sebagaimana kita menginginkan itu dan ini daripada mereka yang bersama-sama kita, lagi tinggilah demand yang patut kita ada untuk diri kita sendiri. Bukan bertegas pada mereka, tetapi berlembut dengan diri. Dan akhirnya mengorbankan diri; sehingga ada yang menyalahkan jalan dakwah; kata mereka jalan ini susahnya sehingga tak dapat mereka bawa diri menuju pengakhiran yang abadi.


...



Aku tidak mengatakan semua ini sekadar berbasa basi ataupun setakat supaya yang melihat blog ini sekadar memandang tanpa memerhati. Kes ini terjadi tahun demi tahun dari dulu lagi. Tak henti-henti. Dan sebab itu jugalah ada di antara kita yang gugurnya tak kembali sepulangan mereka ke tanah air, tempat realiti. Alasannya mudah, tidak mampu untuk berada di jalan ini.

Mereka dengan mudah meletakkan dosa itu pada jalan dakwah ini yang suci... alangkah pilunya andai dakwah ini punyai hati?

Cuba antunna lihat diri sendiri sebelum sedap mulut berkata itu dan ini!

Ingatlah para daie.
Jangan pada awalnya saja kita bertegas pada diri sendiri, di saat di mana himmah muda kita masih tinggi, tapi selepasnya kita senang saja untuk ditolak ke sana ke mari, tugas-tugas dakwah kita bawa ke tepi, masih dengan urusan lama dan bersifat peribadi...

Kalau betullah demand kita tinggi di jalan dakwah ini, bagaimana dengan demand pada diri?

Daie perlu lebih tegas pada diri,
Saadiah

Sunday, January 2, 2011

Kita redha...

Bismillah.

Teringat suatu ketika dalam bas bersama seorang ukhti, kami pada masa itu dalam perjalanan ke tempat makan halal di Manchester, dan pada waktu itu dibeleknya buku yang baru saja dibeli pd PMS, bertajuk 'Dakwah dengan Harta' (pengarang Ustazah Maznah, Ketua Wanita IKRAM).

Istiqamah untuk sesuatu pekerjaan itu adalah suatu yang bukan senang, dan paling menguji kita dalam membuat sesuatu perkara ialah pabila istiqamah itu sendiri diuji kesungguhannya.

Kata ukhti itu padaku, pendahuluannya sudah cukup memberi kesan padanya. Dalam pada pengarang ingin menyumbang sebahagian daripada hartanya untuk dakwah pada kali itu, beliau diuji dengan kesihatan anaknya sendiri, yang memerlukan perbelanjaan perubatan yang agak besar, dan perbelanjaan itu akan mengaut sebahagian daripada jumlah harta yang akan diberikannya pada jalan dakwah. Betapa istiqamah beliau dalam menyumbang harta untuk dakwah itu diuji, begitu kata ukhti itu padaku...

Istiqamah membutuh lebih daripada keinginan untuk kita menjadikan sesuatu itu sebagai imbuhan untuk kita sendiri. Kalaulah setakat inginkan redha Allah dan agar kita juga mendapat sesuatu daripada usaha kita itu, bertambah susahlah istiqamah kita pada pekerjaan itu. Kerana ada di situ kemahuan kita mendapat hasil di dunia. yang setara dengan kemahuan kita mendapat keredhaan Allah swt. Sedangkan seorang daie itu tidak wajar untuk meletakkan matlamat-matlamat lain sama atau lebih tinggi daripada himmahnya untuk mengejar Allah.

Dalam niat istiqamah, kita ingin Allah swt redha pada kita dalam tiap apa yang kita kerjakan. Tapi kenapa tidak dikejar keredhaan kita juga pada apa yang Allah swt ingin kurniakan pada kita?

Daie itu mengejar redha dan meredhai,
Saadiah


Saturday, January 1, 2011

Mana medan kita?

Bismillah...

Medan yang Allah swt kurniakan pada tiap-tiap hambaNya sangat berbeza, walaupun pada zahirnya kita di tempat yang sama, melalui timeline tarbiyyah yang sama, menyelusuri daurah-daurah yang sama... kita akan mendapati tiap-tiap detik yang Allah atur dalam mentarbiyyah kita adalah satu specialization.

Kerana itulah tidak dapat kita hujahkan; kerana si A ini buat begitu, maka begitulah yang dibuat kita. Dulu ada pernah kudengar si B ni berkata begitu, kenapa tidak kita? Sesungguhnya tidak sesenang itulah kita memberi hujah kepada mereka yang bersama-sama kita, apatah lagi pada diri kita sendiri. Apa pada tiap-tiap amal yang kita buat, tidak ada keimanan kita di situ? Ikut-ikut orang, sampai bila akan begitu?

Kamu akan mendapati orang-orang yang kerap berhujah sebegitu, berselindung di sebalik orang lain yang berpegang pada keimanannya pada fikrahnya berlari anak menyembunyikan diri pabila pada takdir Allah, diserahkan medan yang dahulunya menjadi medan mereka bersama, sekarang menjadi medan seorang saja.

Ada antara kita yang sebenarnya nampak dengan jelas perubahan yang perlu dilakukan dalam dirinya demi mencapai matlamat UA dan menyempurnakan 10 MT, dua benda yang selalu menjadi sebutannya di hujung-hujung majlis, usrah yang dibawanya atau pengisiannya. Namun entah mengapa syaitan masih lagi mengaburi pandangannya dan dia mengambil kesempatan atas setiap daie yang ada di sekelilingnya. Ditangguh-tangguh apa yang patut dilakukannya hari demi hari. Tiap-tiap kali terlintas di fikirannya betapa sedih melihat hanya seorang dua saja ukhti yang berusaha, hanya keluh kesah yang kedengaran dan tiap itu jugalah ianya berakhir di situ.

Apakah matlamat tarbiyyah hanya sekadar memberi kesan dijiwa, anggota masih terbiar beku? Mana mujahadahmu melawan nafsu kerehatan dunia?

Akhirnya berlari-lari anak meninggalkan medannya sendiri kerana tiada sesiapa lagi di sisi.

Masih tidak nampak perubahan yang berlaku, bererti omonganku tidak laku. Tidak melanjut dan tetap kekal setakat itu.

Bukanlah sistem pentarbiyyahan Al-Quran yang hanya ingin mendengar keluh kesah daie-daie pada nasib umat dan diri masa kini. Dan ini bukanlah teori. Bukan falsafah manusia. Ini kalam Allah yang bermain-main dengan iman kita sehari-hari.

Kita daie, bukan pelarian,
Saadiah